mutakhir

Mohamad Azrul belum ditemui

Oleh Recqueal Raimi

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas sejak Khamis lalu, diteruskan di Sungai Sugut di Kampung Merungin 2, Ranau.

Mangsa, Mohamad Azrul Zul, 23, yang dilaporkan hilang 12.30 tengah hari pada 31 Oktober lalu, masih belum ditemui sehingga kini walaupun operasi SAR memasuki hari ketiga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, operasi SAR hari ini disambung pada 8 pagi selepas ditangguhkan 6 petang, semalam.

Katanya, operasi turut disertai Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu, PPDA Zon Kudat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung Merungin 2.

“Sejak semalam, operasi pencarian di permukaan air diperluaskan sejauh enam kilometer di sepanjang sungai berkenaan, manakala pasukan PPDA melakukan selaman dengan radius kedalaman 15 meter.

“Hari ini, kita akan meluaskan pencari sejauh 10 kilometer bermula di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketiak dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, pihaknya turut menggunakan tiga kenderaan utiliti pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Vigo dan satu bot milik penduduk kampung untuk mencari mangsa.

Dalam laporan Harian Metro sebelum ini, sepupu mangsa yang dikenali Normi, 31, memberitahu, mangsa dikatakan tidak berbaju dan berseluar pendek ketika mandi di sungai dan ada memaklumkan dia mahu menangkap ikan menggunakan tangan di celah batu sungai sebelum disedari hilang.

Berita berkaitan

Dikhuatiri lemas selepas menangkap ikan

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 11:01am
d