mutakhir

Kantoi menyorok celah mesin, kotak

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

TINDAKAN segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di celah mesin pemprosesan kilang dan kotak bagi mengelak ditahan hanya sia-sia apabila dikesan penguat kuasa dalam Ops Bersepadu di tiga premis perkilangan di Selangor, semalam.

Dalam operasi bermula 10 pagi hingga 7 malam itu, seramai 99 pati ditahan membabitkan warga Bangladesh, Mynmar, Nepal dan India.

Antara kesalahan utama dilakukan PATI adalah tinggal lebih masa, tinggal tanpa pas serta permit yang sah.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi iotu tertumpu di Kota Damansara dan Bandar Sultan Suleiman, Klang.

“Daripada jumlah berkenaan, paling ramai ditahan adalah Bangladesh (51), Myanmar (11), Nepal (3) dan India (34) berusia 20 hingga 45 tahun.

“Kami turut memeriksa 250 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 17 pegawai dan anggota.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati ada dalam kalangan PATI menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang berlainan sektor.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk tujuan siasatan lanjut.

“Mereka juga akan direman 14 hari mengikut seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

“Siasatan juga akan tertumpu kepada majikan yang menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan akan dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Pihak JIM Selangor sentiasa komited untuk terus menjalankan operasi bagi membendung gejala PATI dari masa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 12:28pm
d