mutakhir

Hati-hati, ada lubang...

Oleh Rosman Shamsudin

TANAH jerlus berlaku di Kilometer 94 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh, arah utara berhampiran FELDA Residence Resort, Trolak mengakibatkan terbentuknya lubang di tengah laluan berkenaan yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terbabit.

Lubang sedalam kira-kira dua meter itu dipercayai berlaku akibat hakisan tanah kira-kira 11 malam tadi dan disedari oleh pengguna jalan raya itu.

Langkah keselamatan sudah diambil oleh pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan meletakkan kon sepanjang kira-kira 100 meter sebelum laluan berkenaan bagi mengelak kemalangan berlaku.

Tinjauan sehingga 12 tengah hari tadi mendapati, belum ada kerja-kerja membaiki jalan itu dijalankan oleh PBT.

Penduduk, Mohd Mustakim Ahmad, 40, berharap pihak berkuasa segera menangani masalah itu kerana ia adalah jalan utama dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya

Katanya, lubang itu memang dalam dan lebih membahayakan lagi lubang terbabit menuju ke arah bahagian kanan jalan yang dilalui kenderaan setiap hari.

“Kita bimbang terutamanya kenderaan berat yang melalui jalan itu mungkin boleh menyebabkan bahagian bawah tanah itu terus terhakis dan mendap serta mengundang bencana lebih besar.

“Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pengguna jalan ini tidak terdedah dengan bahaya ketika melalui jalan itu terutama ketika hujan di kawasan ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 1:18pm
d