mutakhir

Ugut bom IPD

Oleh Hadzlihady Hassan

SEORANG lelaki menghubungi polis dan mengugut mahu meletupkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menggunakan bom C4, semalam.

Lelaki terbabit pada mulanya menghubungi Balai Polis Pulau Tikus 3.30 petang dan bercakap dengan anggota yang bertugas di kaunter pertanyaan.

Bagaimanapun, dalam perbualan telefon itu, dia secara tiba-tiba memaki hamun anggota polis terbabit dengan pelbagai perkataan kesat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek pada mulanya memarahi anggota polis yang menjawab panggilan telefon itu.

“Dalam panggilan yang dibuatnya itu, suspek marah kerana polis kerap menahan orang dan dia turut memaki anggota terbabit dengan pelbagai perkataan kesat.

“Sebelum meletakkan telefon, dia sempat mengugut untuk meletupkan IPD Timur Laut menggunakan C4 kerana mahu melihat semua anggota polis mati,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada ancaman itu, sepasukan polis Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bergegas ke IPD Timur Laut untuk siasatan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang bom atau bahan letupan yang ditemui dalam kawasan IPD.

“Setakat ini, kita sedang mengesan suspek terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 2:25pm
d