mutakhir

'Bantu asnaf Muslim dulu' - Mufti Perak

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PERAK belum berhasrat untuk mengeluarkan wang zakat kepada bukan Muslim kerana masih banyak orang Islam di negeri itu yang perlu dibantu dan dibela menerusi kutipan wang berkenaan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ketika ini dikenal pasti orang Islam yang paling ramai menjadi fakir dan miskin selain bantuan untuk kategori asnaf lain yang memerlukan sumbangan wang zakat berbanding mereka yang bukan Muslim.

“Jika sudah habis orang Islam (dalam semua kategori asnaf) terbela dan dibantu, baru kita boleh buka (bantuan zakat) kepada asnaf bukan Muslim.

“Sekarang ini, bagaimana mahu bantu bukan Muslim, bantuan untuk orang Muslim pun masih tidak cukup lagi,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai tindakan Majlis Fatwa Negeri Perlis yang meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf ́muallafah qulubuhum, iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dilaporkan berkata, golongan bukan Muslim layak menerima bantuan berkenaan atas syarat yang ditentukan oleh Ulil Amri atau pemerintah.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza dipetik sebagai berkata, Perlis membuat transformasi sejak lebih dua tahun lalu apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengadakan mesyuarat kali ke 26/2017 pada 3 Februari 2017 memutuskan wang zakat boleh diberi kepada asnaf bukan Muslim selain daripada asnaf Muslim.

Harussani berkata, situasi di Perlis berbeza kerana mungkin negeri itu mempunyai wang zakat yang terlalu banyak dan semua asnaf Muslim di negeri itu sudah terbela, membolehkan wang berkenaan disalurkan pula kepada bukan Muslim.

Beliau berkata, selagi nasib asnaf Muslim belum terbela dan dibantu, maka tiada keperluan untuk pihak berkuasa agama di Perak untuk mengagihkan wang zakat kepada bukan Muslim.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 2:40pm
d