mutakhir

14 polis ditahan miliki air ketum

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PADAH memiliki air ketum, seramai 14 anggota polis ditahan dalam serbuan dijalankan di kawasan meletak kereta pasar raya di Shah Alam, semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan menerusi Ops Blue Devil dijalankan pasukan dari Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, 3.55 pagi.

Pengarah JSJB Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, serbuan di kawasan letak kereta tingkat empat itu dibuat susulan maklumat diterima mengenai sekumpulan anggota polis bersama enam kereta peronda (MPV) berkumpul di situ.

“Bertindak atas maklumat itu, satu serbuan dijalankan dan pemeriksaan kemudian menemui dua botol minuman 1.5 liter disyaki mengandungi air ketum.

“Satu botol minuman berkenaan ditemui atas bonet belakang satu daripada MPV, satu lagi di bahagian bawah kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua anggota berkenaan ditahan dan dibawa ke IPK Selangor untuk tujuan siasatan.

Bagaimanapun katanya, kesemua 14 anggota berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif mengambil bahan terlarang selain tiada sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, susulan penemuan cecair disyaki air ketum itu, JSJN Selangor membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Manakala JIPS Bukit Aman pula akan menjalankan siasatan tata tertib terhadap anggota berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 3:20pm
d