mutakhir

Jangan leka penjenayah sentiasa memerhati

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang lelaki cuba meragut wanita di hadapan sebuah kondominium di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, kelmarin, tular selepas rakaman video kejadian itu dimuat naik di media sosial, hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 24 saat itu menunjukkan seorang lelaki memakai pakaian seragam syarikat penghantar makanan menunggang motosikal sebelum dilihat menarik beg tangan seorang wanita, namun gagal.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 4 petang, kelmarin.

“Hasil semakan rakaman CCTV di lokasi mengesahkan berlaku kejadian itu. Rakaman memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal yang mempunyai kotak makanan selain memakai pakaian syarikat penghantar makanan.

“Lelaki itu kemudian dilihat cuba meragut beg tangan seorang wanita yang sedang berjalan di hadapan kondominium. Bagaimanapun, mangsa berjaya menarik kembali beg tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, sehingga jam 4 petang, polis masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika berjalan kaki di kawasan persendirian atau tumpuan ramai bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah ragut.

“Kami meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-2297 9222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 6:22pm
d