mutakhir

Belilah barang buatan Malaysia [METROTV]

Oleh Ibrahim Isa

KARNIVAL Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019 dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Dataran Angsana, Johor Bahru bermula 30 Oktober lalu hingga esok diharap dapat mencapai matlamat memberikan faedah dan manfaat kepada pengunjung supaya berbelanja dengan bijak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, selain itu, pengguna berpeluang mendekati syarikat pengeluar yang beroperasi di Malaysia menerusi karnival itu, seperti syarikat peruncitan, syarikat berasaskan minyak dan gas, syarikat francais tempatan, jenama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai jenama lain yang menyertai karnival ini.

“Saya difahamkan KPDNHEP mengatur pelbagai aktiviti menarik dan berinformatif sepanjang berlangsungnya program selama lima hari dengan pelbagai pengisian seperti pameran dan jualan oleh pempamer, demo produk, taklimat agensi kerajaan, ‘pocket talk’, program kepenggunaan, bicara keusahawanan dan aktiviti riadah kekeluargaan.

“Ia suatu inisiatif kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya. Oleh itu, saya menggesa semua rakyat Malaysia mempertingkatkan semangat patriotisme terhadap negara dengan membantu membangunkan ekonomi negara dan menunjukkan sokongan dalam mengutamakan barangan Malaysia.

“Rakyat perlu memperbanyakkan berbelanja barangan tempatan supaya ekonomi kekal berlegar di dalam negara tanpa banyak pengaliran wang keluar,” katanya pada majlis perasmian Karnival Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2019, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata, sebagai pengguna sudah pasti akan memastikan setiap perbelanjaan lebih nilai untuk wang (value for money), berpatutan dan berkualiti.

Katanya, karnival jualan seumpama itu diharap dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan supaya ia boleh dimanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dagang dan syarikat yang sudi bekerjasama dengan kerajaan merealisasikan usaha dan inisiatif kerajaan trrus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Karnival ini adalah karnival berskala besar menghimpunkan pelbagai jenis jenama perniagaan terdiri daripada pelbagai kluster perkhidmatan serta menawarkan pelbagai produk pilihan kepada pengguna pada harga berpatutan.

“Ia bertujuan mempromosikan produk tempatan dengan tema beli barangan buatan Malaysia dan salah satu inisiatif kerajaan membantu syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan PKS tempatan memasarkan produk mereka kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, penganjuran karnival berbentuk ekspo jualan adalah satu pendekatan terbaik dan berkesan mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 9:10pm
d