mutakhir

'Ada lebih 2,000 murid'

Oleh Faliq Lajim

LEBIH 600 tandatangan berjaya dikumpul oleh penduduk Puncak Jalil di sini, bagi menyokong petisyen membina sebuah sekolah rendah di situ.

Ia susulan mereka terpaksa menghantar anak mereka di sekolah yang lebih jauh selain sekolah berdekatan sudah mencecah kepadatan murid.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal berkata, kawasan itu sudah dibuka sejak 2004 dan hampir 90 peratus penempatan termasuk pembangunan di sini sudah siap sepenuhnya.

“Kita turut dimaklumkan yang pemaju akan bina 2,000 unit rumah termasuk pangsapuri dan juga rumah teres.

“Angka itu sudah tentu akan menambah lagi jumlah penduduk di sini yang sudah mencecah lebih 20,000 orang.

“Namun, setakat ini tiada lagi sekolah rendah yang didirikan di sini walaupun sudah ada keperluan. Hanya ada sebuah sekolah menengah.

“Jadi penduduk terpaksa hantar ke sekolah berdekatan. Lebih memburukkan keadaan lagi apabila sekolah berdekatan yang sedia ada juga sudah semakin sesak dan tidak dapat menampung keperluan penduduk di sekitar sini,” katanya.

Menurutnya, mengikut kajian yang dibuat, lebih 2,000 murid yang bersekolah rendah tinggal di Taman Puncak Jalil saja.

“Jadi jumlah itu sudah cukup untuk memenuhi sebuah keperluan sekolah. Tambahan pula, memang ada sebidang tanah khas yang disimpan untuk pembinaan sekolah rendah di Jalan Puncak Jalil 4.

“Oleh itu, kita minta agar kerajaan mengambil perhatian dengan keperluan penduduk di sini dan segerakan pembinaan sekolah rendah di Puncak Jalil,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Liza Kidman Nordin, 45, berkata, dia terpaksa menghantar anaknya seawal jam 6.45 pagi berikutan perjalanan ke sekolah anaknya itu mengambil masa hampir setengah jam.

Katanya, dia tinggal di situ sejak 2004, namun setakat ini masih tiada sekolah rendah dibina di situ.

“Anak saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, memang dekat dari rumah lebih kurang tujuh kilometer saja.

“Namun, trafik di sini sangat sesak. Tambahan pula, kawasan di sini banyak berlaku kemalangan pada awal pagi.

“Sekiranya ada kemalangan memang anak saya akan lambat.

“Oleh itu, kita minta agar dibina sebuah sekolah rendah di sini bagi memudahkan penduduk. Saya rasa sudah tiba masanya,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:15am
d