mutakhir

Ketum dalam MPV

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PADAH memiliki air ketum menyebabkan seramai 14 anggota polis ditahan dalam operasi di kawasan meletak kereta sebuah pasar raya, di sini, kelmarin.

Semua mereka berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan Op Blue Devil selepas menerima maklumat awam pada jam 3.55 pagi.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, serbuan di tingkat empat tempat letak kereta dibuat susulan maklumat mengenai sekumpulan anggota polis bersama enam kereta peronda (MPV) berkumpul di situ.

“Bertindak atas maklumat itu, satu serbuan dijalankan dan pemeriksaan kemudian menemui dua botol minuman 1.5 liter disyaki mengandungi air ketum.

“Satu botol minuman berkenaan ditemui atas but belakang salah sebuah MPV di mana satu botol lagi di bahagian bawah kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua anggota berkenaan ditahan dan dibawa ke IPK Selangor untuk tujuan siasatan.

Bagaimanapun katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif mengambil dadah selain tiada sebarang rekod jenayah.

“Bagaimanapun, susulan penemuan cecair disyaki air ketum itu, JSJN Selangor membuka kertas siaatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Manakala, JIPS Bukit Aman pula akan menjalankan siasatan tatatertib terhadap anggota berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 6:00am
d