mutakhir

Simpan sejuta kilogram gula tanpa kebenaran

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

GUDANG simpanan gula di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Khamis lalu, selepas didapati menyimpan gula melebihi had dibenarkan bernilai RM2.45 juta.

Serbuan dilakukan selepas anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan risikan selama seminggu ke atas gudang yang mempunyai lesen untuk menyimpan 2,000 metrik tan gula, namun pemeriksaan mendapati ada lebihan 1,000 metrik tan bersamaan sejuta kilogram gula dalam simpanan mereka.

Jumlah gula yang disimpan tanpa kebenaran itu mencecah nilai RM2.45 juta.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, ini adalah rampasan dan sitaan terbesar dilakukan pihaknya sepanjang tahun ini.

“Gudang yang sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu itu mempunyai lesen sah untuk menyimpan 2,000 metrik tan gula. Bagaimanapun, kami menjumpai 1,000 metrik tan gula lagi yang berada dalam simpanan mereka.

“Kami menyita semua lebihan gula itu bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalam Bekalan 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had simpanan yang dibenarkan KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat KPDNHEP Johor di Menara Ansar di Johor Bahru, hari ini, turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Johor, Zubir Hamsa.

Mohd Hairul Anuar berkata, tiada tangkapan dilakukan setakat ini, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, pemeriksaan mendapati gudang itu tidak mempunyai rekod terdahulu membabitkan kesalahan sama.

“Siasatan awal mendapati bekalan gula dari gudang simpanan itu dibekalkan ke dalam negeri ini, Melaka dan Kedah,” katanya.

Menurutnya, kegiatan menyimpan bekalan barang kawalan melebihi had dibenarkan itu dipandang serius pihaknya berikutan tindakan pemborong, peruncit atau pembekal seumpama itu boleh mengganggu bekalan di pasaran.

“Pembekal atau pemborong dinasihatkan menyimpan barang kawalan mengikut lesen yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Ini bertujuan memastikan bekalan di pasaran tidak terputus atau terganggu. Rampasan pertama kali ini dilihat dalam skala yang besar, jadi kami memandang serius kegiatan seumpama ini.

“Kami percaya mungkin ada lagi premis yang melakukan kegiatan sama, namun masih dalam risikan. Operasi berterusan akan terus dilakukan dari masa ke semasa,” katanya,

Pengguna yang mempunyai maklumat, katanya, boleh membantu menyalurkan maklumat serta aduan kepada pejabat KPDNHEP terdekat.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 2:24pm
d