mutakhir

Langgar bekas isteri kerana cemburu

Oleh Ibrahim Isa

CEMBURU dipercayai punca penganggur cuba membunuh bekas isterinya dengan melanggar mangsa di Jalan Merbuk, Bandar Kulai, pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu mangsa berusia 32 tahun berjalan sebelum didatangi suspek yang memandu Proton Wira.

Menurutnya, suspek melanggar mangsa dari belakang menyebabkan wanita itu luka di tangan kanan dan patah kaki kiri.

“Mangsa membuat laporan polis pada jam 2.08 petang hari sama, sebelum sepasukan anggota menjalankan siasatan dan memburu suspek.

“Hujung bulan lalu sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berjaya menahan suspek bersama Proton Wira di Jalan Hang Tuah 7/3 Taman Muhibah, Kluang.

“Suspek lingkungan 30-an dan tidak bekerja itu dibawa ke IPD Kulai bagi membantu siasatan atas kesalahan cubaan bunuh bekas isteri,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku melanggar bekas isterinya akibat cemburu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dadah dan jenayah.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman empat hari sehingga 5 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 3:05pm
d