mutakhir

'Macam mana saya nak reda?'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

“TIPULAH kalau saya kata reda, sedangkan hati tidak,” demikian luahan Noor Fara Wahida Mohd Noor, 37.

Noor Fara Wahida adalah ibu kepada Mohamad Danish Supry Anthony, 9. kanak-kanak yang masih hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bukit Permai, Ampang, 8 Oktober lalu.

Menurutnya, dia boleh reda jika anaknya sudah tiada, namun mahu melihat sendiri jasad Mohamad Danish.

“Jika dia sudah tiada, di manakah jasadnya? Jika ada sesiapa yang menjumpainya tolong kembalikan kepada kami.

“Saya sebagai seorang ibu amat merindui Mohamad Danish hingga memasuki longkang di mana Mohd Danish dilaporkan terjatuh,” katanya kepada Harian Metro.

Fara berkata, dia kini masih sukar menerima kehilangan Mohamad Danish kerana anaknya ceria seperti biasa ketika dia menghantarnya ke sekolah.

“Hari ini sudah memasuki hari ke-27 Mohamad Danish hilang. Saya masih ingat ketika menghantarnya ke sekolah, dia ceria dan berkelakuan seperti biasa.

“Sehinggalah suami menghubungi dan memberitahu Mohamad Danish hilang pada jam 6 petang, hari sama.

“Perasaan saya ketika itu hanya Allah yang tahu. Bayangkanlah perasaan seorang ibu selama ini tidak pernah berpisah dengan anak tiba-tiba mendapat khabar duka sebegitu,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohamad Danish dihentikan selepas kanak-kanak itu gagal ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang sehingga kanak-kanak itu ditemui.

Mangsa dipercayai terjatuh ke longkang ketika bermain bersama rakannya di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

'Tolong doakan Danish segera ditemui's

Skop pencarian dikecilkan

Mahu sambut hari lahir dengan badut

Tumpu 2 kawasan [METROTV]

Budak 9 tahun dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 4:51pm
d