mutakhir

Pasangan kembar disangka hantu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Pasangan kembar dan suami isteri antara 4,390 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UTM edisi ke-63, semalam.

Mohammad Shukri Mohammad Hedzer dan Mohammad Khairi Mohammad Hedzer, masing-masing berusia 28 tahun menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Petroleum.

Berkongsi pengalaman menuntut ilmu selama lima tahun, Mohammad Khairi berkata, antara kenangan lucu apabila mereka yang berasal dari Teluk Emas, Melaka pernah disangka hantu.

“Pensyarah dan rakan memang sukar bezakan kami terutama apabila mahu memberi tugasan, melainkan jika kami duduk berhampiran.

“Mereka perlu ambil masa untuk membezakan kami, tetapi nanti mereka keliru lagi.

“Pernah sekali, kami ke tandas bersama. Abang saya (Mohammad Shukri) keluar tandas dahulu, jadi orang nampak dia di luar. Tiba-tiba mereka nampak lagi dia di dalam, padahal itu saya,” katanya pada Majlis Konvokesyen UTM di UTM Skudai di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohammad Khairi berkata, dia dan abangnya belajar bersama sejak di bangku sekolah dan tidak pernah berpisah.

“Sehingga kini kami tidak pernah terpisah. Malah, sama-sama bekerja sebagai pembantu jurutera di syarikat di Batu Berendam, Melaka,” katanya.

Sementara itu, suami isteri, Yap Sheng Lin dan Chin Yong Ling, masing-masing berusia 34 tahun menerima ijazah sarjana selepas menamatkan pengajian separuh masa atau jarak jauh (PJJ) selama dua tahun.

Chin berkata, dia terlebih dahulu memulakan sesi pengajian pada 2017 kerana mahu menambah ilmu.

“Saya ambil Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Kontrak Pembinaan) sebelum suami mahu bersama-sama melanjutkan pengajian,” katanya.

Menurut Yap, dia memilih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Penerbangan).

“Ketika isteri hamil anak pertama ia menjadi cabaran utama namun kami dapat menghadapinya dengan bantuan dan sokongan ibu bapa serta rakan,” katanya.

“Apa yang penting saling memahami antara satu sama lain kerana kami juga bekerja sepenuh masa dan belajar separuh masa,” katanya.

Seramai 4,390 penuntut termasuk 257 penuntut antarabangsa dari 38 negara menerima ijazah mereka dalam pelbagai bidang pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:30am
d