mutakhir

Dua penganggur berdepan hukuman mati [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

DUA rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang mekanik, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, D Puhaleandran, 20, dan N Sathis Kumar, 27, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang juga penganggur mencapai niat bersama membunuh A Raju, 39, di dalam kereta Proton Wira di ladang kelapa sawit di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, antara 3 hingga 5 pagi, 18 Oktober lalu.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurunaim kemudiannya menetapkan tarikh 17 Januari depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan mayat Raju ditemui terapung dalam keadaan tangan dan kaki terikat di Tasik Paya Bungor, Gambang.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira jam 10 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Berita berkaitan

Tahan beberapa jam selepas mayat ditemui

Mayat berikat dalam tasik mungkin dibunuh [METROTV]

Mayat dalam tasik

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 12:06pm
d