mutakhir

Kes LTTE: Cegah sebelum kegiatan militan menyerang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN polis menahan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini bagi mencegah cubaan menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis menahan mereka selepas siasatan dan mempunyai bukti individu terbabit memberi sokongan kepada LTTE.

“Laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan terorisme di Malaysia pada 2018 yang tidak menyentuh LTTE perlu difahami antara wujud aktiviti militan dengan memberi sokongan kepada kumpulan itu.

“Memang di negara kita aktiviti berbentuk militan seperti mengumpul senjata api, menyerang sana sini tidak ada, namun mereka ini didapati menyokong kumpulan itu... (dan) sebab itu ditahan dan dituduh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang meminta penjelasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan AS berkaitan LTTE.

Abdul Hamid berkata, pertuduhan mereka di mahkamah pun jelas menyatakan mereka dituduh memberi sokongan kepada LTTE.

“Kita tahan dan tuduh untuk cegah sebelum kegiatan militan menyerang sehingga keselamatan negara tergugat di negara ini,” katanya.

Guan Eng semalam meminta PDRM memberi penjelasan selepas laporan AS hanya menyebut Malaysia sebagai sumber dan lokasi transit bagi kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), kumpulan Abu Sayyaf, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI).

Sebelum ini Harian Metro melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen beberapa negeri berkaitan dengan kumpulan LTTE.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook dan Youtube milik mereka.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 1:01pm
d