mutakhir

Bantahan nelayan, aktivis tolak tambak [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LEBIH 1,000 nelayan, wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis berkumpul di Padang Esplanade, Georgetown, hari ini bagi membantah secara aman berhubung projek tambak laut di Pulau Pinang.

Bantahan Solidariti Nelayan 2019 itu anjuran Penang Tolak Tambak, mendesak kerajaan negeri memberi perhatian serius berkenaan perkara itu yang boleh menjejaskan alam sekitar selain tidak memanfaatkan rakyat.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Nazri Ahmad berkata, mereka tidak bermaksud menentang pembangunan namun, projek itu dibantah demi menuntut hak nelayan dan mahu memelihara ekosistem.

“Nelayan memang sudah terjejas sejak sekian lama terutama sejak tambakan laut rancak dijalankan dan bayangkan sekiranya projek Penambakan Selatan Pulau Pinang berlangsung kelak.

“Hari ini lebih 2,000 nelayan di Pulau Pinang bersepakat tidak turun ke laut dan sebahagiannya memberi sokongan dengan menyertai bantahan ini,” katanya yang ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, sebahagian daripada peserta bantahan berarak hampir 500 meter ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri yang diwakili Penolong Pegawai Penerangan, Zainal Zainul.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadir dan aktivis Penang Forum, Khoo Salma Nasution.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sejak 2015 hingga kini, kerajaan negeri didakwa tidak pernah memberi maklum balas terhadap memorandum yang diserahkan mereka.

Dakwanya, bukan hanya nelayan pantai terjejas tetapi mereka yang beroperasi di laut dalam dan industri penternakan ikan di perairan Sungai Udang iaitu yang terbesar di Malaysia.

“Sepatutnya wakil kerajaan negeri datang berbincang dengan nelayan khususnya dan mudah bagi kedua-dua pihak memberi penjelasan,” katanya.

Kandungan memorandum itu antara lain memperincikan mengenai keadaan laut yang terjejas teruk akibat projek Sri Tanjung Pinang II (STP2) serta kekurangan sumber laut hingga menjejaskan pendapatan nelayan.

Juga mengenai kemusnahan ekosistem apabila projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) dijalankan pada tahun depan.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 2:44pm
d