mutakhir

Sasar koperasi masjid di seluruh negara

Oleh Amir Abd Hamid

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperhebatkan usaha untuk menambah bilangan koperasi masjid di seluruh negara.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini kerana masjid berpotensi membangunkan aktiviti ekonomi berikutan fungsinya dekat dalam kalangan kariah itu.

Katanya, mengikut rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terdapat 435 koperasi masjid daripada sejumlah 6,342 masjid yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seluruh negara.

“Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat melakukan ibadat harian, malah sebenarnya lebih jauh daripada itu untuk kegiatan komuniti.

“Justeru, Angkasa menyeru semua pengerusi jawatankuasa atau nazir masjid di seluruh negara bekerjasama dengan jawatankuasa, imam, ketua masyarakat dan persatuan untuk bangun menggerakkan penubuhan koperasi masjid.

“Kita nakkan masjid turut menjadi platform ekonomi masyarakat setempat. Buat masa ini koperasi masjid mempunyai kira-kira 30,000 ahli, pegangan saham koperasi RM8.9 juta, aset RM21.9 juta dan perolehan tahun lalu sebanyak RM12 juta,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, meskipun koperasi masjid, keahliannya terbuka kepada semua orang tanpa mengira kaum, agama dan jantina asalkan kariah di kawasan dan berusia 18 tahun ke atas serta warganegara Malaysia.

Katanya, Angkasa turut mengalu-alukan keahlian koperasi dalam kalangan bukan Islam yang boleh merapatkan jurang ketidakfahaman mengenai Islam selari konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Jika orang Islam yang datang ke koperasi kafe atau kedai runcit di masjid pula takkanlah apabila azan berkumandang buat tak tahu sahaja, tentu nak turut sertai solat berjemaah.

“Ini secara tak langsung turut mengimarahkan masjid. Kita nak kaitkan kecemerlangan masjid pada zaman Rasulullah SAW. Konsep kita sekarang kebiasaan untuk ibadat rutin sahaja iaitu solat dan mengaji.

“Padahal masjid mempunyai potensi dan aset membangunkan ekonomi. Malah masjid adalah platform terbaik sebab memang setiap minggu ada perjumpaan besar iaitu solat Jumaat. Jemaah boleh mendapat bekalan harian daripada koperasi masjid,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 4:25pm
d