mutakhir

Kelar tangan, kaki dan dahi sendiri

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI yang mengalami kemurungan ditemui berlumuran darah selepas mengelar tangan, pergelangan kaki dan dahi menggunakan botol kaca di rumahnya di Medan Pusing Saujana, Batu Gajah hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kes itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada 6.35 pagi.

Katanya, mangsa yang juga penganggur berusia 46 tahun itu dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan selepas cedera pada tangan, kaki dan dahi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mencederakan dirinya menggunakan botol kaca sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian anggota dan kini dalam keadaan stabil.

“Mangsa dipercayai mempunyai masalah kemurungan dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, temubual dengan isteri mangsa mendapati mangsa mempunyai masalah kemurungan sejak 16 tahun lalu dan serius tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

Katanya, mangsa juga dipercayai enggan bercampur dengan keluarga selepas kejadian itu dan sering menyendiri sebelum bertindak luar kawalan dengan mencederakan dirinya hari ini.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 5:18pm
d