mutakhir

Caj beg plastik diserah ke PBT

Oleh BERNAMA

KUTIPAN caj 20 sen yang dikenakan ke atas penggunaan beg plastik di pasar raya di seluruh Selangor akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mulai 1 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, langkah itu bertujuan bagi memperkemas usaha mengurangkan penggunaan plastik di negeri itu.

“Dulu kita benarkan pasar raya kutip dengan harapan mereka buat program CSR (tanggungjawab sosial korporat) untuk pemuliharaan alam sekitar tetapi kita dapati tidak semua pasar raya melaksanakannya.

“Disebabkan itulah bermula tahun depan, PBT di seluruh Selangor akan melaksanakan sendiri kutipan caj 20 sen bagi penggunaan beg plastik di pasar raya dalam memastikan ia mencapai objektif dikehendaki,” katanya ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, Hee berkata, pihaknya akan membentang satu kertas kerja pada minggu depan berkaitan agihan caj kutipan itu dengan meletakkan satu klausa baharu di dalam semua lesen perniagaan PBT.

Katanya, menerusi klausa itu, PBT akan melaksanakan kutipan caj itu berdasarkan jumlah beg plastik yang dibeli oleh premis pasar raya berkenaan daripada pengilang.

“Jika pasar raya gagal mematuhi peraturan berkenaan, PBT boleh mengeluarkan kompaun kepada pihak terbabit dan wang kutipan caj 20 sen itu juga kita akan gunakan untuk melaksanakan program CSR membabitkan alam sekitar di negeri ini, ” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:10pm
d