mutakhir

Ainul Mardhiah suka tersenyum, tergelak [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

“ALHAMDULILLAH, Ainul Mardhiah sudah pandai tersenyum dan gelak bila kita mengagahnya,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa bayi yang sebelum ini menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ pada mulut.

Katanya, Ainul Mardhiah yang kini berusia 14 bulan juga tidak banyak meragam walaupun masih perlu bergantung pada alat sokongan pernafasan serta memakai alat membersihkan kahak.

“Berat badan Ainul Mardhiah juga turun naik. Sekarang beratnya 3.87 kilogram.

“Esok dia sekali lagi akan membuat rutin pemeriksaan biasa di Hospital Melaka, susulan pembedahan di London.

“Dalam sebulan, dua kali Ainul Mardhiah perlu menjalani rutin pemeriksaan biasa ini.

“Alhamdulillah, setakat ini perkembangan kesihatannya baik serta mengikut apa yang dirancang pasukan perubatan,” katanya ditemani isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, ketika ditemui di rumahnya di Rumah Awam Ayer Molek hari ini.

Malah Ahmad Safiuddin berkata, mereka juga kerap berhubung dengan pasukan perubatan di London yang turut gembira menyaksikan perkembangan positif bayi mereka.

Ditanya kemungkinan ada lagi pembedahan susulan yang menanti anaknya selepas ini, Ahmad Safiuddin berkata, Ainul Mardhiah dijangka menjalani pembedahan sumbing atau ‘cleft palate’ pada bahagian lelangitnya.

Begitupun katanya, pembedahan itu tidak akan dilakukan dalam waktu terdekat sebaliknya bergantung kepada perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah.

“Doktor yang membuat rawatan susulan di sini yang akan menentukan tempoh masa untuk Ainul Mardhiah melakukan pembedahan cleft palate ini.

“Sama ada usianya dua atau tiga tahun atau mungkin lebih awal bergantung kepada perkembangan kesihatannya.

“Mungkin juga pembedahan dibuat di Malaysia kerana kita sudah mempunyai ramai pakar dalam bidang itu,” katanya.

Sementara itu, gelagat Ainul Mardhiah turut mencuri tumpuan ketika pertemuan di rumah keluarganya.

Tidak banyak meragam, Ainul Mardhiah yang hanya berbaring di tilam juga begitu leka memegang bahagian plastik alat membersihkan kahak yang sudah menjadi ‘permainannya’.

Akhbar sebelum ini melaporkan Ainul Mardhiah berada di London lebih dua bulan sejak 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser Germ Cell Tumor pada mulut.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:46pm
    d