mutakhir

RM740 juta bina 8 MRSM baharu

Oleh BERNAMA

KERAJAAN menyalurkan RM740 juta bagi tujuan pembinaan lapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baharu yang dijangka dapat menampung 750 pelajar bagi setiap maktab.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu kenyataan hari ini menyebut empat MRSM sedang dalam pembinaan iaitu MRSM Bagan Datuk, Perak dengan status pelaksanaan projek 62.86 peratus; MRSM Ulul Albab Bera, Pahang (52.79 peratus) manakala program usahasama MARA dan PETRONAS bagi pembinaan MRSM Ranau, Sabah dan Bintulu, Sarawak, masing-masing mencapai 14 peratus kemajuan pembinaan.

Empat lagi MRSM iaitu MRSM Sik, Kedah; Tanah Merah, Kelantan; Lawas, Sarawak dan Dungun, Terengganu masih melalui proses pengurusan nilai dan proses perolehan tanah.

“Melalui pembinaan baharu MRSM di seluruh negara ini ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan usaha pembangunan modal insan Bumiputera terutamanya di luar bandar sentiasa diperkasa dan menjadi keutamaan.

“MARA akan sentiasa berusaha untuk memastikan agenda pendidikan digerakkan secara strategik bagi memenuhi keperluan negara pada masa depan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, salah satu projek MRSM yang diumum sebelum ini iaitu MRSM Ketereh membabitkan peruntukan RM120 juta ditangguhkan berikutan kajian semula keperluan dan kesesuaian pembinaan MRSM baharu di Kelantan.

Menurut kenyataan itu, MARA mendapati lima MRSM sedia ada di Kelantan iaitu MRSM Pengkalan Chepa, Pasir Tumboh, Jeli, Kuala Krai dan Tumpat masih mampu menampung keperluan pelajar dari negeri itu dan negeri bersempadanan dengannya.

Lima MRSM itu berupaya menampung 3,500 pelajar sedangkan jumlah pelajar MRSM berasal dari Kelantan berjumlah 3,253 orang.

“Selain itu, kedudukan tapak cadangan MRSM Ketereh juga berdekatan dengan MRSM Pengkalan Chepa dan Tumpat, bahkan jarak tapak cadangan ini hanyalah sejauh 5.4 kilometer saja dari MRSM Pasir Tumboh,” menurut kenyataan itu sambil menambah tapak pembinaan MRSM baharu perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk demografi.

Setakat ini, 53 MRSM sedang beroperasi di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan pelajar 36,972 orang.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 9:22pm
d