mutakhir

Hanya 30 peratus organ gajah ditemui

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

HANYA 30 peratus bahagian badan gajah Pygmy Borneo ditemui ketika bedah siasat dijalankan selepas bangkai haiwan itu ditemui di Sungai Kinabatangan, Ahad lalu.

Sebahagian organ haiwan malang itu tidak ditemui termasuk kepala, bahagian perut serta kedua kaki belakang dan tapak kakinya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, bedah siasat terhadap gajah itu selesai dijalankan pada petang semalam.

Katanya, 30 peratus bahagian badan yang dibedah siasat adalah bahagian tulang pinggul hingga ekor dan bahagian kaki depan kiri serta kanan.

“Tetapi, tapak kaki depan haiwan itu sudah tiada, disyaki dipotong. Selain itu, terdapat kulit bahagian belakang gajah terbabit.

“Manakala, anggota selebihnya tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Augustine berkata, punca sebenar kematian gajah itu masih dalam siasatan.

Terdahulu, bangkai gajah itu ditemui terapung oleh orang awam di kawasan sungai terbabit dan ia adalah penemuan ketiga bangkai gajah pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, tiada bahan metal ditemui pada bangkai gajah terbabit.

“Ia disyaki sudah mati sejak seminggu yang lalu dan terdapat kesan dipotong pada kaki gajah itu.

“Namun tidak dapat dipastikan ia dipotong sebelum atau selepas kematian gajah terbabit,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 9:16am
d