mutakhir

Teksi motosikal rintis mula Januari ini

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali yang berminat menyediakan perkhidmatan bike-hailing (teksi motosikal) dibenarkan melaksanakan proses rintis atau Proof of Concept (POC) bermula Januari tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kerajaaan bersetuju supaya POC dilaksanakan terlebih dahulu memandangkan proses pindaan undang-undang untuk meluluskan pelaksanaan perkhidmatan itu akan mengambil masa kerana memerlukan pembentangan dan kelulusan di Parlimen.

Beliau berkata, tempoh POC yang dibenarkan adalah selama enam bulan dan ia hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja.

“Sepanjang tempoh POC ini, syarikat pengendali boleh membuat persiapan dan pengujian pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal berkenaan.

“Menerusi POC ini juga, kerajaaan dan syarikat pengendali boleh mengumpul data, menilai tahap permintaan, menilai tahap penerimaan dan lain-lain keperluan operasi berhubung perkhidmatan teksi motosikal,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) berhubung bilakah projek perintis teksi motosikal akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Loke berkata, bagi tujuan keselamatan dan penyeragaman, kementerian akan menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat pengendali POC.

“Antaranya adalah pemandu mesti mempunyai lesen memandu penuh dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun; mengambil hanya seorang penumpang pada satu-satu masa; umur penumpang tidak kurang daripada 18 tahun; menggunakan tanda pakaian dan tanda pakaian yang jelas dan mematui peraturan jalan raya,” katanya.

Katanya, pada masa ini, kementerian bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan semua peraturan dan tatacara serta semua persiapan di peringkat pentadbiran berkaitan pelaksanaan POC ini.

Dalam pada itu, katanya, semua syarikat pengendali teksi motosikal juga disyorkan menyediakan kemudahan perlindungan insurans kepada pemandu, penumpang dan pihak ketiga.

Loke berkata, syarikat pengendali juga hendaklah mematuhi undang-undang berhubung perlindungan data peribadi selain wajib memberi akses kepada APAD untuk melaksanakan audit dan pemantauan dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 11:29am
d