mutakhir

Duti eksais untuk vape?

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BUAT masa ini tiada duti eksais dikenakan terhadap produk vape namun, jika produk itu mampu memberi hasil kepada negara ia (duti/cukai) akan dikutip sebaiknya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata, Kementerian Kewangan akan memastikan mana-mana aktiviti yang tidak baik untuk kesihatan dan sebagainya akan diletakkan cukai bagi memastikan ia dapat dikurangkan.

“Buat masa ini, produk vape tidak dikenakan duti eksais melainkan cukai jualan sebanyak 10 peratus,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai anggaran kerugian dialami kerajaan dari segi kutipan cukai dan duti eksais membabitkan eksport dan import produk vape.

Ismail mendakwa, Malaysia kini mempunyai komuniti pengguna vape yang besar selain negara kedua terbesar di dunia yang mengeksport cecair vape.

Menurutnya lagi, Malaysia juga menguasai 40 peratus pasaran dunia dalam aktiviti pengeksportan cecair vape.

“Walaupun aktiviti vape belum diharamkan tetapi import dan eksport vape masih berleluasa di negara ini terutama dalam kalangan anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan kini sedang melihat untuk mengawal produk vape sama ada membenarkannya dengan sekatan atau mengikut perundangan.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan, ada antara pengusaha vape sudah bergelar jutawan dengan memiliki jet peribadi dan kapal layar mewah hasil penjualan cecair perisa vape mengandungi nikotin.

Risikan mendapati cecair vape mengandungi nikotin tanpa lesen dihasilkan di negara ini turut dieksport ke serata dunia hingga ke Kanada, Chile, Pakistan, Colombia, Mexico, Bulgaria, Bolivia, Paraguay dan Asia Barat.

Berdasarkan siasatan, setiap botol kecil cecair vape dihasilkan dengan modal sekitar RM3 ke RM5 mampu dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 sebotol kepada pelanggan tempatan dan harganya boleh meningkat berkali ganda jika dieksport ke luar negara.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 1:01pm
d