mutakhir

Selangor kekal penyumbang utama KDNK negara

Oleh Khairul Azran Hussin

SELANGOR menyumbang 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai penyumbang pelaburan tertinggi di negara ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sumbangan lebih 20 peratus Selangor kepada KDNK negara membuktikan kewangan yang stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus dan polisi yang efektif.

“Selangor merekodkan sumbangan sebanyak 23.7 peratus diikuti Kuala Lumpur (16.1%), Sarawak (9.7%), Johor (9.6%), Pulau Pinang (6.7%) dan Sabah (6.2%).

“Ini dapat dibuktikan pada 2018, jumlah pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM18.9 bilion membabitkan RM8.1 bilion pelaburan domestik dan RM10.8 bilion pelaburan asing,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan (PKR-Hilman Idham yang ingin tahu prestasi ekonomi negeri serta langkah untuk menjana pertumbuhan negeri dalam keadaan ekonomi negara serantau yang mengalami kemerosotan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, prestasi ekonomi yang mampan itu adalah hasil kejayaan program Smart Selangor yang menekankan lima teras merangkumi aspek kualiti hidup, persekitaran, pembangunan ekonomi, tenaga buruh dan fiskal negeri.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak 132 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 5.97 bilion dan mewujudkan sebanyak 6,628 potensi peluang pekerjaan.

“Malah, kita jangkakan kemasukan pelabur utama dari Jepun, China dan Singapura dijangka menjana 26,492 potensi peluang pekerjaan baru,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada industri utama yang bernilai tinggi seperti industri elektrikal, elektronik, sains kehidupan, mesin, pengangkutan serta makanan dan minuman

“Kerajaan Selangor juga akan terus mempelbagaikan kaedah serta merangka pendekatan yang lebih strategik untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini.

“Kita percaya dan yakin struktur teguh yang dibina dan ditambah dengan perancangan yang lebih tersusun dan fokus, dapat mempertahankan kedudukan Selangor sebagai negeri termaju dan penyumbang utama KDNK negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 2:00pm
d