mutakhir

Kadet JPJ usaha membendung gejala basikal lajak

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan inisiatif pendidikan dan pencegahan melalui usaha advokasi di sekolah-sekolah bagi membendung gejala basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, penubuhan kadet JPJ di sekolah-sekolah adalah satu daripada strategi JPJ untuk mendekati pelajar supaya tidak terbabit dengan gejala yang tidak sihat ini.

“JPJ melihat Kadet JPJ adalah agen perubahan untuk menasihati rakan sebaya mereka supaya tidak terpengaruh dan terbabit dengan masalah ini.

“Sementara itu, ibu bapa dan masyarakat juga hendaklah memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak terbabit dengan gejala ini. Gejala ini hendaklah dipandang serius kerana ianya memberikan impak yang besar terhadap keharmonian dan keselamatan di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan sebanyak 116 basikal lajak dirampas menerusi 13 operasi di seluruh negara bermula Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, operasi itu membabitkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Shaharuddin berkata, JPJ boleh mengambil tindakan terhadap basikal yang ditunggang di atas jalan raya mengikut peruntukan yang berkaitan termasuklah Seksyen 42, Seksyen 54 dan Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menunggang basikal secara melulu dan membahayakan di atas jalan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 42 APJ 1987. Seksyen ini juga dibaca bersekali di bawah Seksyen 54(1) APJ 1987 yang turut terpakai kepada orang-orang yang menunggang basikal, basikal elektrik dan trisikal yang bukannya kenderaan motor.

“Penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah seperti di bawah subseksyen 54(2) APJ 1987 iaitu denda sebanyak tiga ratus ringgit (RM300) atau, jika sabitan itu disabitkan kali kedua atau kemudiannya, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, bagi menyekat kesalahan berkenaan basikal berkenaan boleh ditahan mengikut Seksyen 112 APJ 1987 yang memberi kuasa kepada pegawai JPJ, polis dan warden lalu lintas untuk membuat penangkapan, pemberhentian dan penahanan terhadap mana-mana orang yang melakukan atau disyaki melakukan suatu kesalahan berkenaan.

“Jika sesebuah kenderaan itu mempunyai sifat fizikal seperti basikal tetapi tidak memenuhi sepenuhnya syarat mengikut kaedah yang ditetapkan, maka ianya dikira melanggari peruntukan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 2:32pm
d