mutakhir

Bayaran mel, paket dibincang

Oleh Hafiz Ithnin

PENGGUNA perkhidmatan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) bakal membayar kadar baharu bagi penghantaran mel dan paket di bawah dua kilogram (kg) menjelang 1 Januari 2020.

Peningkatan kadar itu berikutan keputusan Kesatuan Pos Sedunia (UPU) yang mahu menaikkan kadar bayaran terminal melebihi 200 peratus secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun dengan permulaan 30 peratus pada 1 Januari depan.

Menerusi Mesyuarat tergempar ahli UPU pada September lalu di Geneva, Amerika Syarikat juga dijangka menaikkan kadar itu kepada 210 peratus pada Julai 2020 mengakibatkan harga penghantaran akan lebih mahal ke negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Najib Md Noor berkata, ketika ini 95 peratus pelanggan pos mel adalah peniaga yang mengenakan caj tinggi kepada pelanggan dan sekiranya kadar baru diperkenalkan, mereka masih mencatatkan keuntungan bagi perkhidmatan pos kepada pelanggan.

Beliau berkata, kali terakhir kadar setem dinaikkan pada 2010 iaitu 60 sen dan nilai berkenaan tidak lagi rasional dengan kos operasi yang terpaksa ditanggung Pos Malaysia yang mempunyai lebih 19,000 kaki tangan.

“Tambahan pula setiap tahun alamat di negara ini meningkat purata 28 peratus menjadikan operasi syarikat semakin tinggi terutama memerlukan lebih ramai posmen.

“Kita tidak seperti syarikat pesaing yang lain kerana Pos Malaysia perlu mewujudkan perkhidmatannya di seluruh negara termasuk di luar bandar,” katanya kepada Harian Metro.

Kenaikan kadar baru penghantaran mel dan paket di bawah dua kg itu ketika ini dalam proses perbincangan dengan kerajaan kerana penetapan harga hanya boleh dipersetujui kerajaan.

Syed Najib berkata, bayaran terminal membabitkan penghantaran ke luar negara iaitu pelanggan Malaysia mahu menghantar mel dan paket di bawah dua kg.

Menurutnya, Pos Malaysia perlu menanggung kos operasi penghantaran dan bayaran terminal ditetapkan oleh syarikat penerima di luar negara.

“Kesan peningkatan kadar ini turut memerlukan Pos Malaysia menyemak semula caj bagi setem dan paket kecil di bawah dua kg bagi membolehkan syarikat terus berdaya saing.

“Rasionalnya, sekiranya kita bersetuju menetapkan kadar baru bayaran terminal kepada negara luar, perbandingan caj tidak boleh terlalu jauh dengan kadar penghantaran domestik. Jika berlaku, ia boleh memberi kesan hubungan dagangan,” katanya.

Ditanya mengenai kesan kadar tarif itu kepada pos barangan keseluruhan domestik, beliau berkata, ia tidak menjejaskan kerana kadar baharu hanya membabitkan mel dan paket kecil di bawah dua kg saja.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 2:42pm
d