mutakhir

Kawal selia kegiatan basikal lajak

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Pengangkutan mencari kaedah untuk mengawal selia kegiatan basikal lajak dalam mengatasi fenomena berkenaan yang bukan sahaja memberi masalah kepada pengguna jalan raya, malah membahayakan nyawa kanak-kanak terbabit.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia sudah dibincangkan menerusi Mesyuarat Kabinet minggu lalu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diminta untuk melihat perkara berkenaan.

“Basikal lajak ini tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang jadi, pihak JPJ bersama penasihat undang-undang Kementerian Pengangkutan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melihat perkara ini bagaimana boleh mengawal selia.

“Pada masa sama, kita belum ada tempoh (perbincangan) tetapi ia perlu dibincangkan dengan pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan saya rasa ini perlu sedikit masa untuk melihat bagaimana hala tuju,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada akan wujud undang-undang bagi menangani kegiatan basikal lajak, beliau berkata, ia belum sampai ke tahap itu kerana pihaknya perlu melihat perkara berkenaan secara keseluruhan.

“Kita kena lihat dahulu bagaimana untuk melaksanakan kawal selia sama ada boleh menggunakan undang-undang sedia ada atau memerlukan pindaan undang-undang atau undang-undang baharu.

“Setakat ini kita berbincang perkara ini dan JPJ diminta melihat kerangka bagaimana untuk mengawal selia dan juga mengatasi masalah dihadapi sekarang ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, kerangka bagi mengawal selia kegiatan berkenaan turut meliputi tanggungjawab ibu bapa sekali gus perlu dilihat secara keseluruhan.

Katanya, beliau juga memerlukan maklum balas daripada JPJ sebelum langkah seterusnya diambil.

“Setakat ini belum ada sebarang keputusan dan harap diberi sedikit masa kepada JPJ serta agensi lain yang terbabit seperti MIROS untuk melihat cara terbaik untuk mengawal dan mengatasi masalah ini.

“Yang pastinya kita menyedari ada masalah jadi, saya berpendapat semua pihak di dalam kerajaan merasakan perlu buat sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah menjadi fenomena membahayakan pengguna jalan raya dan kanak-kanak,” katanya.

Mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang diwajibkan bermula 1 Januari depan, beliau berkata, tiada peruntukan disediakan kepada ibu bapa yang tidak mampu bagi membeli CRS berkenaan.

“Bagaimanapun, kita sudah minta supaya pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus dan cukai import dimansuhkan terhadap produk ini.

“Sudah tentu apabila ada permintaan tinggi, saya yakin harga itu akan turun untuk pasaran domestik. Kita nak mulakan inisiatif itu tetapi lebih kepada soal pendidikan terlebih dahulu.

“Didik dan beri kesedaran kepada orang ramai manakala penguatkuasaan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 4:32pm
d