mutakhir

Isu basikal lajak: 'Kaji semula undang-undang'

Oleh Idris Musa

KERAJAAN disaran mengkaji semula dan membuat pindaan undang-undang sedia ada berkaitan pengangkutan jalan bagi menangani kes seperti basikal lajak dengan lebih berkesan.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penggunaan basikal lajak berisiko amat tinggi malah ada menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Undang-undang sedia ada boleh dikaji semula dan dibuat pindaan supaya aktiviti basikal lajak dapat ditangani. Undang-undang itu perlu diperhalusi.

“Pihak polis dan Kementerian Pengangkutan boleh bincang perkara ini dan mengesyorkannya kepada pihak Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lee berkata, ibu bapa juga perlu diingatkan tanggungjawab mereka menjaga anak agar tidak sampai terjebak dengan aktiviti basikal lajak kerana ia masalah yang amat serius.

“Pihak polis boleh ambil tindakan terhadap mereka yang terbabit malah ibu bapa juga. Basikal mereka (kanak-kanak terbabit) boleh disita,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, ibu bapa berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan cuai dan pengabaian jika anak mereka terbabit dengan aktiviti basikal lajak.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dipetik berkata, tindakan boleh diambil terhadap mereka mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Katanya, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 6:05pm
d