mutakhir

Barang kemas RM500,000 lesap

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

WARGA emas kerugian kira-kira RM500,000 selepas pelbagai barangan kemas miliknya dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumah yang ditinggalkan kosong sejak tiga bulan lalu.

Kejadian disedari mangsa 11.30 pagi Sabtu lalu apabila anak lelakinya berusia 35 tahun meninjau keadaan rumah mereka di Batu Buruk, Kuala Terengganu yang tiada penghuni, sebelum mendapati terdapat kesan umpil pada pintu rumah.

Sumber berkata, anak mangsa yang membuat pemeriksaan lanjut kemudian mendapati keadaan ruang tamu rumah dan tiga bilik berselerak dipercayai dipecah masuk penjenayah.

“Anak mangsa kemudian memaklumkan kepada mangsa yang tinggal bersama ibunya di sebuah rumah lain yang terletak berhampiran.

“Mangsa berusia 63 tahun yang terkejut memberitahu dia menyimpan barangan kemas miliknya di dalam rumah itu dan segera membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun mangsa mendapati barangan kemas termasuk seutas rantai emas putih, satu loket emas putih, tiga utas emas kuning 916 kasar dan dua gelang emas putih yang disimpan di bawah katil di dalam biliknya hilang.

“Selain itu, tujuh gelang emas, lapan cincin berlian, empat cincin emas putih dan dua kunci motosikal yang disimpan di tempat sama turut lesap,” katanya.

Sumber berkata, rumah berkenaan dibiarkan kosong sejak tiga bulan lalu kerana mangsa yang mengalami masalah kesihatan tinggal di rumah ibunya yang terletak berhampiran.

Susulan kejadian mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mendapatkan pengesahan nilai sebenar kerugian dialami mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 7:52pm
d