mutakhir

Laluan hotel, pangsapuri tertutup [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarulah

DUA ratus kakitangan dan penghuni hotel dan pangsapuri di Genting Highlands terperangkap selepas berlaku tanah runtuh akibat hujan lebat berhampiran Jalan Ion D’elemen hari ini.

Difahamkan, runtuhan tanah itu berlaku secara berperingkat bermula kira-kira 5 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.20 petang.

Menurutnya, dua jentera bersama 23 anggota termasuk bantuan BBP Bentong ke lokasi untuk memantau lokasi kejadian.

“Kejadian ini tidak membabitkan kemalangan jiwa tetapi runtuhan itu menghalang laluan untuk ke hotel dan pangsapuri yang menggunakan laluan berkenaan dan ia tidak membabitkan laluan utama ke Genting Highlands.

“Buat masa ini, kontraktor sedang melakukan kerja pembersihan dan kita tidak pasti berapa lama tempoh diperlukan sebelum jalan itu boleh dilalui semula,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis ketika dihubungi, mengesahkan kejadian terbabit.

“Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.

“Pihak pengurusan hotel turut bersama membersihkan laluan berkenaan,” katanya.

Seorang kakitangan hotel yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, hujan lebat tanpa henti bermula 2 petang.

“Mungkin disebabkan itu berlaku rekahan sebelum tanah terbabit runtuh. Kejadian itu menyebabkan penghuni berehat terpaksa di hotel ini saja,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 9:11pm
d