mutakhir

Saya mohon maaf - MB Johor

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA mohon maaf,” kata Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal terpaksa menangguhkan operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian selepas dijadualkan dibuka semula esok.

Menurutnya, terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkan kapal milik negara ini tidak menerima kebenaran berlabuh di Tanjung Balai, Indonesia.

“Terdapat beberapa masalah teknikal, bukan di pihak kita (Malaysia) tetapi di Indonesia.

“Isunya ialah kapal dari Malaysia masih belum dibenarkan berlabuh di Tanjung Balai,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin di Kampung Belokok malam ini.

Menurutnya, isu itu berlaku berikutan syarikat feri yang terdahulu mempunyai hutang RM3 juta dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan Indonesia ingin memastikan syarikat yang ada sekarang, tiada kena mengena dengan syarikat yang terdahulu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, beliau sudah menghubungi Bupati (Pemerintah Indonesia) Tanjung Balai.

Katanya, pasukan kepimpinan kerajaan negeri akan ke Indonesia bagi melihat dan menghantar beberapa dokumen yang diperlukan untuk berlabuh di sana.

“Di Johor tiada masalah (beroperasi). Isunya ialah kita ingin meminta bantuan Indonesia untuk membenarkan kapal kita berlabuh semula.

“Dalam dua atau tiga hari ini, kita (kerajaan negeri) akan ke sana (Tanjung Balai) dan melihat dulu hasil perbincangan mereka,” katanya.

Menurut Dr Sahruddin, jika mengikut pendirian peribadinya, beliau mahu membuka terminal berkenaan, namun kapal milik tempatan tidak boleh berlabuh di Tanjung Balai.

Menyentuh mengenai hutang syarikat feri, katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat terdahulu untuk memastikan mereka membayar hutang.

“Hutang itu antara kerajaan negeri dan syarikat yang lama, tetapi yang ini (perbincangan kebenaran berlabuh) antara kerajaan negeri dengan kerajaan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu sebelum ini memang mempunyai masalah dengan kerajaan negeri dan Indonesia.

“Sebab itu kerajaan Indonesia ingin memastikan syarikat yang ada sekarang tidak ada kena mengena dengan syarikat sebelum ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata terminal itu yang dihentikan operasi sementara sejak 1 September lalu akan kembali beroperasi sepenuhnya esok.

Operasi feri ke Tanjung Balai, Karimun di Indonesia itu kini dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 10:21pm
d