mutakhir

Letupan kecil selamatkan nyawa

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

LETUPAN kecil menyelamatkan lelaki daripada menjadi mangsa kebakaran apabila kereta dipandunya terbakar di Kilometer 17, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian 4.30 petang itu berlaku apabila lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta Peugeot terdengar bunyi letupan kecil di bahagian enjin keretanya.

Beliau berkata, sebaik pemandu itu memberhentikan keretanya di kiri jalan dia dapati api mula marak di bahagian enjin.

“Pemandu itu segera menghubungi talian kecemasan sebelum pasukan bomba tiba 20 minit kemudian.

“Api berjaya dipadamkan dan kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikerah ke lokasi.

“Sebaik tiba, pihaknya mendapati api marak sebelum ia berjaya dikawal tujuh minit kemudian dan padam sepenuhnya 5.19 petang.

“Kereta itu terbakar 100 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 11:18pm
d