mutakhir

Tidak henti fikirkan tugas'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“HAMPIR sejam dirawat di hospital, fikiran saya tidak henti memikirkan tugas memadam kebakaran belum selesai termasuk nasib rakan setugas yang masih bertungkus-lumus di lokasi.

“Saya juga sempat memberitahu rakan yang menghantar ke hospital supaya tidak menceritakan kemalangan menimpa diri kepada isteri kerana mahu terus ke lokasi kebakaran sebaik selesai rawatan luka,” kata Pegawai Bomba, Muhammad Farhan Azhar, 28.

Bapa kepada anak lelaki berusia tiga tahun itu adalah seorang daripada dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu yang dikejarkan ke hospital selepas cedera ketika operasi memadam kebakaran memusnahkan tiga rumah kedai tiga tingkat di Jalan Munshi Abdullah, malam Ahad lalu.

Turut dikejarkan ke Hospital Melaka dalam kejadian itu namun kembali bertugas di lokasi kebakaran adalah anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) balai sama, Pegawai Bomba, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin, 24.

Menceritakan kejadian itu, Muhammad Farhan daripada Unit Bermotor Bomba atau Rapid Intervention Motorcycle (RIM) berkata, dia tiba di lokasi kira-kira 9 malam dan meneruskan tugas seperti biasa memadam kebakaran di tingkat bawah kedai tiga tingkat itu.

“Selepas 20 minit, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zahery Mod Zailani yang bertugas di lokasi mengarahkan saya ke tingkat satu melakukan kerja pemadaman offensive iaitu mencari punca api,” katanya.

“Tingkat atas ketika itu diselubungi asap dan saya melutut untuk memadam kebakaran sebelum tiba-tiba kepala seperti dihentak objek berat dipercayai botol kaca dari dalam premis.

“Ketika itu, saya sudah hampir pitam tetapi cuba menggagahkan diri memadam api sebelum tiba-tiba belakang badan terasa panas dan sangat pedih terkena serpihan kaca,” katanya ketika ditemui di BBP Jalan Kubu, semalam.

Katanya, susulan itu dia dikejarkan ke Hospital Melaka oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di lokasi sebelum kembali sejam kemudian untuk meneruskan kerja pemadaman api hingga selesai jam 2.30 pagi.

Che Ku Muhammad Rizzuwan berkata, dia mengalami masalah pernafasan walaupun sudah mengenakan pakaian lengkap operasi disebabkan asap terlalu tebal ketika memecahkan tingkap dan papan tanda premis untuk memadam kebakaran dari atas jentera Turn Table Ladder (TTL).

“Selepas 20 minit, saya rasa nafas terlalu laju dan lemah. Saya segera memberi isyarat tangan perlu diturunkan dari jentera. Ketika berada di bawah, badan saya sudah terlalu lemah.

“Saya terpaksa dipapah untuk diberi rawatan awal di dalam EMRS dan terus dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum dibawa ke zon kritikal.

“Ketika menerima rawatan, saya sentiasa teringat slogan bomba ‘Seerat, Serasa, Sehati dan Sejiwa’ dan nekad mahu kembali ke lokasi kebakaran membantu rakan yang masih berada di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata,

dedikasi dan tanggungjawab terhadap tugas sememangnya menjadi amalan biasa anggota bomba walaupun ia dianggap luar biasa bagi masyarakat.

Katanya, komitmen dan disiplin tinggi adalah hasil latihan serta didikan yang diikuti dalam latihan asas kadet bomba.

“Sememangnya, menjadi amalan mereka dilatih menjadi kuat, cekal, tidak gentar dan tabah dalam apa juga situasi bersesuaian dengan bidang tugas untuk berdepan dengan musibah tidak dijangka.

“Semangat kembali bertugas walaupun ditimpa kemalangan itu walaupun dianggap luar biasa, kami sudah terbiasa dengannya malah menganggap ia sebagai kewajipan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 6:30am
d