mutakhir

Sebulan kenal, dah 'angkut' balik rumah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama wanita yang baru dikenalinya sebulan lalu di rumah di Mergong, di Alor Setar, semalam.

Lelaki berusia 39 tahun yang juga penjawat awam di negeri ini dicekup pada 11.45 malam oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan yang disyaki disewa lelaki berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan bilik di rumah itu yang diubahsuai dijadikan bilik sewa.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, lelaki terbabit membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati seorang wanita memakai singlet dan berseluar jeans sedang duduk di atas tilam bilik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri malah mereka mengaku baru mengenali sejak sebulan lalu.

Katanya, lelaki itu berasal dari Perak manakala pasangannya berasal dari Pahang dan bekerja di premis mesin judi di bandar raya ini.

“Pada awalnya, lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah itu namun gagal apabila anggota kami mengepung di rumah berkenaan.

“Mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014,” katanya.

Radzi berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 10:03am
d