mutakhir

Polis baru selesai 'road-block' sebelum dirempuh

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LORI yang merempuh kumpulan anggota polis yang baru selesai menjalankan tugasan sekatan jalan raya di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang, dilaporkan hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, ketika kejadian 5.30 pagi itu, seramai enam anggota polis sedang memuatkan kelengkapan operasi sekatan jalan raya (SJR) ke atas Land Rover untuk kembali ke pangkalan.

“Enam anggota baru selesai penugasan SJR cegah jenayah sebelum dilanggar sebuah lori yang terbabas.

“Ketika kejadian, keenam-enam anggota sedang memuatkan kelengkapan SJR ke atas Land Rover untuk balik ke pangkalan dengan tiba-tiba dirempuh lori terbabit yang dari datang arah Kota Masai ke Taman Pasir Putih.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori itu hilang kawalan, lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh lima daripada enam anggota berkenaan.

“Land Rover yang berada di tepi jalan juga turut dirempuh,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu dua anggota polis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mereka yang maut adalah Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, yang bertugas di Balai Polis (BP) Pasir Gudang serta Lans Koperal Mohamad Johari Rosli, 32, yang bertugas di BP Taman Scientex, Seri Alam,” katanya.

Menurut beliau, tiga lagi anggota dari BP Pasir Gudang , BP Scientex dan BP Pasir Puteh cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Seorang lagi anggota tidak mengalami apa-apa kecederaan. Pemandu lori yang berusia 47 tahun dan berasal dari Kota Masai juga kini menerima rawatan di HSI kerana cedera,” katanya.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Dua polis maut dirempuh lori

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 11:32am
d