mutakhir

Integriti, tadbir urus baik di enam sektor

Oleh Idris Musa

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembaharuan tadbir urus berdasarkan dua prinsip teras iaitu integriti dan tadbir urus yang baik.

Katanya, prinsip integriti dan tadbir urus yang baik akan digunakan di enam sektor dikenal pasti termasuk tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, undang-undang dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.

“Ini diharapkan akan memperoleh hasil menggalakkan seperti memperkukuh akauntabiliti dan integriti, meningkatkan kredibiliti sistem perundangan selaras dengan perubahan sosial dan peningkatan persepsi rakyat dan kepercayaan terhadap pentadbiran dan institusi awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalannya Dr Mohd Radzi Md Jidin serta Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia, Stefan Priesner.

Dr Mahathir berkata, sejajar dengan SDG, model pembangunan baharu Malaysia iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kumpulan etnik dan wilayah geografi.

Beliau menegaskan, bahawa ia akan memastikan pembangunan inklusif dan memenuhi objektif untuk tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.

“Dasar kerajaan akan menangani keperluan kedua-dua kumpulan B40 dan M40, terutama melalui libat urus dan perundingan lebih aktif dengan kumpulan ini.

“Saya ingin mengulangi bahawa semasa kita menghadapi pelbagai cabaran global, Agenda 2030 adalah kunci kolektif kita membuka peluang dan harapan dalam menghadapi cabaran itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah pembiayaan yang besar diperlukan bagi mencapai cita-cita SDG global untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan kesihatan global, memastikan pendidikan sejagat dan mengurangkan perubahan iklim menjelang 2030.

Katanya, beban kewangan dijangka melebihi kemampuan kerajaan dan tidak dapat dipenuhi oleh bantuan pembangunan, justeru peranan sektor swasta adalah penting.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 1:19pm
d