mutakhir

LTTE: Kertas pertuduhan dirangka Jabatan Peguam Negara

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERTAS pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dirangka oleh Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagaimanapun pihaknya belum mendapat alasan daripada pihak Mahkamah Sesyen Seremban yang membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

“Saya tidak terkejut, perkara itu adalah normal dalam pendakwaan ia mungkin berpunca daripada isu teknikal atau aspek tertentu seperti keperluan undang-undang.

“Saya belum dapat alasan mungkin ada sebab tertentu. Semua tuduhan yang dibuat ke atas 12 tahanan itu dirangka Jabatan Peguam Negara yang merangka berdasarkan bukti yang kita kemukakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Zakaria Ahmad.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Gunasekaran bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Berita berkaitan

LTTE: ADUN Seremban Jaya bebas tuduhan [METROTV]

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 2:01pm
d