mutakhir

Anak maut bahana tayar pecah

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

WANITA maut manakala bapanya cedera selepas motosikal dinaiki hilang kawalan di Kilometer 116 Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Sungai Rawa, Parit Buntar, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang, tayar belakang motosikal jenis Honda EX-5 dinaiki dua beranak dari arah Bagan Serai menghala Simpang Lima, dipercayai pecah dan menyebabkan mereka terbabas.

Kemalangan menyebabkan Nur Aishah Amira Mohd Razali, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala bapanya, Mohd Razali Zakaria, 71, luka di kedua-dua kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian jam 6.15 petang dan hasil siasatan awal mendapati motosikal dinaiki dua beranak dipercayai mengalami pecah tayar belakang sebelum hilang kawalan sebelum terbabas.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 2:40pm
d