mutakhir

Budak pun 'stress'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KANAK-KANAK berusia empat tahun antara 1,929 individu yang tampil mendapatkan khidmat kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, tahun ini.

Pendedahan itu dibuat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang memaklumkan jumlah itu direkodkan antara Januari hingga Julai tahun ini meningkat lebih satu kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan 671 kes.

Menurutnya, pertambahan ketara angka itu menunjukkan masalah tekanan yang dihadapi masyarakat di ibu kota semakin meningkat tahun ini dengan individu tertua menerima kaunseling berusia 74 tahun.

“Jika dilihat dari segi positif, ia menunjukkan masyarakat kini sudah semakin terbuka untuk berkongsi masalah tekanan perasan kepada pihak yang mempunyai kepakaran seperti JKM yang memiliki kaunselor untuk membantu.

“Masalah tekanan perasaan ini disebabkan pelbagai faktor antaranya kurangnya masa bersama keluarga, persekitaran dan pendedahan berlebihan gajet sehingga masa berkualiti individu itu terabai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Kesihatan Mental di Tempat Kerja: Kebenaran Yang Tidak Diungkap anjuran Kumpulan Kesihatan Qualitas, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Kesihatan Qualitas, Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack.

Dalam pada itu, Hannah berkata, seseorang yang mengalami masalah tekanan hingga mengganggu mental perlu diberikan rawatan segera agar tidak menjejaskan kehidupan.

Katanya, stigma mengenai masalah tekanan dan mental menyebabkan seseorang itu tidak berani tampil mendapatkan rawatan sewajarnya kerana bimbang dipandang serong oleh komuniti.

“Stigma sedemikian perlu dikikis dalam kalangan masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah tekanan perlu berani mendapatkan rawatan dan sebaiknya ia dicegah lebih awal.

“Majikan juga dinasihatkan untuk memberikan peruntukan untuk pekerja mendapatkan rawatan membabitkan tekanan dan kesihatan mental berbanding hanya penyakit umum,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 3:36pm
d