mutakhir

Gadis cari bapa jadi wali nikah

Oleh Zaid Salim

“KETIKA saya berusia dua tahun, ibu dan bapa bercerai menyebabkan sejak dari itu sehingga kini saya tidak pernah bertemu mereka, malah rupa mereka pun saya tidak tahu.

“Bagaimanapun, saya berharap dapat bertemu mereka terutama bapa bagi untuk menjadi wali pernikahan saya nanti,” kata Nur Aleya Shafira Zainal Abidin, 15.

Dia terpisah dengan ibu bapa kandungnya sejak lebih 10 tahun lalu mengharapkan dapat bertemu dua insan terbabit yang sangat dirinduinya.

Malah, Nur Aleya yang bakal diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya bulan depan turut memerlukan kehadiran bapanya untuk menjadi wali bagi urusan perkahwinannya itu.

“Saya diserahkan kepada nenek, Khalijah Abas, 67, yang tinggal di Bandar Baru Cheneh, Kemaman, selepas ibu dan bapa bercerai ketika saya berusia dua tahun.

“Menurut nenek, ibu saya, Junaidah Abdullah yang ketika itu berusia 21 tahun berasal dari Sarawak dan kemungkinan pulang ke kampung halamannya selepas berpisah dengan bapa yang ketika itu berusia 27 tahun.

“Nenek pun tidak tahu di mana bapa berada sekarang kerana nenek tidak menerima khabar berita selepas bapa menghilangkan diri,” katanya yang kini tinggal di Kampung Chendor, Kuantan, Pahang.

Menurut Nur Aleya, sebelum ini dia pernah berusaha mencari bapanya, namun sukar untuk dikesan kerana tidak memiliki gambar lelaki terbabit.

Katanya, segala urusan perkahwinan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diuruskan abang kepada bakal suami, Abd Aziz Ismail, 54, yang tinggal di Kampung Bandar Baru, Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

“Jika gagal mengesan ayah, pejabat agama akan melantik wali hakim untuk meneruskan pernikahan saya.

“Permohonan wali hakim sudah dibuat, namun saya tetap berharap dapat bertemu kedua orang tua terutama bapa bagi menjadi wali pernikahan ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ayah boleh menghubungi saya di talian 01151712881 (Nur Aleya) atau Abd Aziz menerusi 016-9431174 ,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 4:11pm
d