mutakhir

Nak kaya cepat ke? [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

NIAT mereka mahu memulakan kegiatan perdagangan bitcoin, namun cara yang dipilih memakan diri apabila ditahan selepas didapati mencuri 85 mesin pelombongan mata wang itu di sebuah premis di Seremban, 29 Oktober lalu.

Malah, bagi melancarkan operasi, suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Indonesia menyewa rumah kedai bersebelahan premis yang menjalankan perdagangan bitcoin berkenaan sebelum menebuk dinding dan memecah masuk lalu melarikan mesin berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kelima-lima suspek berusia dari 25 hingga 46 tahun ditahan di sekitar Nilai dan Seremban dari jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi, 2 November lalu.

“Pihak kami menerima satu laporan sebuah premis menjalankan perdagangan bitcoin di daerah ini dipecah masuk dan suspek melarikan 85 unit mesin pelombongan bitcoin.

“Selepas menjalankan siasatan, pihak kami berjaya lima suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua lelaki warga Indonesia,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan menyewa sebuah rumah kedai bersebelahan premis bitcoin berkenaan sehari sebelum kejadian.

“Pihak kami mendapati, mereka menyewa premis itu dan menebuk dinding ke unit sebelah sebelum melarikan 85 mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM42,500.

“Malah, kami juga difahamkan, mereka mencuri mesin berkenaan untuk menjalankan perniagaan sama. Hasil tangkapan, pihak berjaya menemui semula 85 mesin berkenaan selain merampas pelbagai alatan digunakan suspek untuk memecah masuk.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 4:40pm
d