mutakhir

29,000 kertas siasatan belum selesai

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 26,000 daripada 55,000 kertas siasatan membabitkan jenayah komersial yang terbengkalai sejak 2005 berjaya diselesaikan dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan baki kertas siasatan tidak diselesaikan berpunca daripada unsur penyelewengan, cuai dan malas pegawai serta anggota polis terbabit.

“Mungkin juga ada agenda tertentu. Maklumlah, kadang-kadang ada kes membabitkan orang kenamaan atau ahli perniagaan (yang berpengaruh).

“Dalam masa terdekat ini akan ada tindakan terhadap mereka yang sengaja tidak meneruskan siasatan dengan harapan satu hari nanti kes itu dianggap lapuk seterusnya menyebabkan fail kes dibuang.

“Diingatkan fail siasatan ini tidak boleh dianggap lapuk dan bukan senang dibuang begitu saja.

“Satu hari nanti, kes penyelewengan ini akan terbongkar dan pegawai bertanggungjawab akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Manual Siasatan dan Buku Arahan Penyiasatan Jabatan Jenayah Komersil (JSJK) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor serta Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, baki kertas siasatan yang masih tidak diselesaikan mungkin disebabkan pertukaran pegawai dan anggota pasukan penyiasatan secara kerap dalam tempoh berkenaan.

“Kita sudah selesaikan 26,000 kes jenayah komersil termasuk 7,800 kes membabitkan jenayah wang palsu.

“Langkah susulan akan diambil membabitkan baki kertas siasatan itu yang kini berada pada tahap 29 hingga 43 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 5:16pm
d