mutakhir

'Hormati keputusan mahkamah' [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

“ITU keputusan mahkamah, jadi kita menghormati keputusan mahkamah,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Seremban hari ini yang membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P Gunasekaran.

“Seperti mana yang kita katakan, apa-apa undang dalam negara kita janganlah ada unsur-unsur penindasan seperti mana Perdana Menteri katakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Bakar, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut melahirkan rasa syukur mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada suaminya yang juga Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah,” katanya ringkas.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 6:48pm
d