mutakhir

Anwar akur titah Sultan Selangor

Oleh BERNAMA

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bahawa agihan zakat hanya untuk orang Islam.

Anwar berkata, pandangannya berhubung cadangan institusi zakat perlu melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam, hanyalah pandangan peribadi beliau untuk dikaji pihak tertentu.

“Itu pandangan saya supaya benda ini dikaji, diteliti oleh mufti dan majlis agama dan diputuskan. Itu saja pandangan saya. Kalau diputuskan tak setuju, tak apa,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani sebelum ini dilaporkan berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan bahawa hanya lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam termasuk asnaf fakir, miskin dan golongan muallaf (saudara baharu) boleh menerima wang zakat.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin sudah mendapat nasihat daripada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan bersetuju akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.

Dr Mahathir dilaporkan berkata demikian dalam temu bual bersama ‘Sydney Morning Herald’ ketika berada di Bangkok, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 baru-baru ini.

“Terima kasih, terima kasih. Terima kasih kepada rakyat, kepada PH (Pakatan Harapan) dan kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 7:58pm
d