mutakhir

11 ditahan bersama dadah

Oleh Hasbi Sidek

ENAM wanita Vietnam dan lima lelaki ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM13,000 dalam operasi khas di Seremban pada 4 November lalu.

Operasi berkenaan membabitkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dilakukan di Taman Bukit Kaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan Superintendan Pang Jin Lai berkata, pihaknya turut menyita pelbagai harta dimiliki suspek yang dianggarkan bernilai RM154,685.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 35 tahun.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan menemui dadah jenis syabu seberat 79.81 gram, ketamin seberat 2.14 gram, tiga pil esktasi seberat 1.13 gram dan cecair ekstasi sebanyak 0.45 liter.

“Kami juga menyita harta yang dimiliki suspek terbabit iaitu kereta, barang kemas dan wang tunai.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek terbabit direman sehingga 11 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JSJN IPK Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memberi tumpuan tangkapan kepada pengedar yang bergiat aktif selain melumpuhkan ekonomi mereka melalui sitaan harta,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 8:35pm
d