mutakhir

Awas! Jangan buang sampah lagi

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KOTAK makanan syarikat penghantaran adalah antara longgokan sampah yang ditemui di lokasi pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama di Gombak hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masoad berkata, tinjauan pihaknya pada 11 pagi tadi di kawasan itu juga mendapati antara barangan yang lain yang dibuang ialah sampah pukal dan domestik.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati status di tanah kawasan itu adalah di bawah pengurusan Jabatan Hutan, manakala status jalan diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kawasan tersebut sudah disita dengan pemasangan tali kuning bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah berterusan.

“MPS juga mendapat maklum balas dari JKR berhubung tindakan bagi mengawal aktiviti pelupusan sampah haram itu daripada terus berleluasa yang mana jabatan itu akan meletakkan batu blok konkrit sebagai penghadang di tebing sungai berkenaan.

“Selain itu, kerja pembersihan akan dijalankan dengan mengorek keluar sampah dari lereng tebing tanah rezab sungai dan jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zin berkata, MPS juga akan mengeluarkan notis kepada pihak pengurusan syarikat penghantaran yang dipercayai membuang kotak makanan syarikat mereka di lokasi itu.

“Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 4 Undang-Undang Kecil Pemungutan Sampah.

“MPS memandang serius terhadap perkara ini terutamanya dalam aspek menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati tidak bertanggungjawab dalam membuang sampah haram di kawasan pentadbiran MPS.

Terdahulu kawasan yang dijadikan lokasi pembuangan sampah haram itu tular di media sosial.

Warganet mengecam perbuatan berkenaan dan meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan kerana dibimbangkan sampah berkenaan akan mencemarkan air sungai berhampiran lokasi terbabit.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 10:38pm
d