mutakhir

57,368 kemalangan pergi dan balik kerja

Oleh BERNAMA

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima 57,368 laporan berhubung kes kemalangan jalan raya membabitkan pekerja yang dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja, dalam tempoh antara Januari hingga September lalu.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin berkata, sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan kemalangan maut.

“Bagi Sabah dalam tempoh sama jumlah kemalangan dilaporkan adalah 1,301 kes,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah di Kota Kinabalu hari ini.

Kempen itu inisiatif bersama PERKESO dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha menyemai kesedaran di kalangan orang ramai mengenai keselamatan jalan raya.

John Riba berkata, PERKESO membelanjakan RM488.4 juta antara Januari hingga Ogos lalu sebagai sumbangan dan juga pampasan kepada pekerja (atau waris mereka) yang terbabit kemalangan jalan raya ketika pergi atau balik dari tempat kerja.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 11:43pm
d