mutakhir

Air kolam ikan baja terbaik

Oleh Adnan Ibrahim

MUNGKIN ramai tidak terfikir air kolam untuk menternak ikan Tilapia boleh dijadikan baja tanaman selain berfungsi menghindarkan serangga perosak.

Penemuan itu didedahkan Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Mohd Faris Adanan yang bakal menyertai pertandingan Toyota Eco Youth 2019 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, penemuan itu mengejutkan apabila air baja itu berjaya menghasilkan tuaian tanpa sebarang kesan rosak dan serangan serangga serta semakin subur.

“Sebelum ini, pihak sekolah menjalankan aktiviti pertanian menggunakan baja yang biasanya digunakan petani.

“Namun, hasilnya agak mengecewakan selain tanaman tidak dapat bertahan lama akibat diserang serangga perosak dan tidak mengeluarkan hasil seperti diharapkan,” katanya.

Menurutnya, tindakan menyiram pokok menggunakan air dari kolam ikan Tilapia bagaimanapun mengubah keadaan tanaman mereka serta-merta.

“Hasilnya, sekolah mampu memperolehi kira-kira RM500 duit jualan jagung untuk sekali tuaian manakala serai meraih jualan RM400 dengan dua kali tuaian setahun,” katanya ketika membawa wartawan meninjau kawasan ladang seluas 0.2 hektar yang dijadikan sebagai projek pertanian pendidikan khas di sekolah itu, semalam.

Menurutnya, projek tanaman ini secara dasarnya dilakukan sejak 2012, namun ia berhadapan pelbagai masalah sehingga penemuan baja air kolam itu.

“Istimewanya semua tanaman dihasilkan dijual kepada kakitangan sekolah melainkan serai yang dihantar ke Pasar Awam atau Pasar Tani di sekitar Yong Peng.

“Hasil penemuan itu, sekolah kami terpilih untuk menyertai pertandingan Toyota Eco Youth 2019 di Kuala Lumpur pada 13 dan 14 November dan kami akan bersaing dengan 11 sekolah lain di seluruh negara,” katanya.

Mohd Faris berkata, selain jagung dan serai, pihaknya juga menanam kacang panjang menggunakan kaedah fertigasi selepas kejayaan menggunakan air dari kolam ikan Tilapia sejak Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 6:00am
d